PUTRAJAYA: Semua kaunter Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diarahkan untuk beroperasi seperti biasa biarpun sudah diumumkan pembubarannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata sebarang permohonan lesen yang dihantar orang ramai perlu diterima dan diproses oleh pihak SPAD seperti biasa.

“Saya minta semua operasi SPAD diteruskan kerana apabila diumumkan suruhanjaya ini dibubarkan, ia bukan bermaksud hari ini umum (bubar), hari ini terus tutup pejabat.

“Pejabat dan operasi SPAD ini masih berjalan kerana kita ada Akta SPAD, kakitangan bertugas seperti biasa dan sebarang permohonan daripada orang awam perlu diterima oleh SPAD,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini, hari ini.

Rabu lalu, Dr Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, mengumumkan empat badan dan agensi kerajaan dibubarkan.

Empat badan berkenaan adalah SPAD, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

Semalam, Anthony dilaporkan berkata, kira-kira 800 kakitangan bertaraf tetap di SPAD akan diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan terdapat 1,000 kekosongan perjawatan di jabatan itu sekarang.

Beliau dipetik berkata, tiada sebab kakitangan SPAD risau kehilangan pekerjaan atau risiko diberhentikan kerja susulan pembubaran suruhanjaya itu diumumkan – berita harian