KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat akan meneliti cadangan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijalankan secara terbuka melalui siaran langsung.

Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata buat masa sekarang, peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding itu dijalankan secara terbuka.

Bagaimanapun, katanya, Dewan Rakyat perlu bergerak ke hadapan dan menimbangkan cadangan yang dibuat bekas Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, itu.

“Kita perlu memilih apa yang sesuai untuk kita dan pada masa sama, terdapat keperluan untuk mewujudkan Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa di Parlimen bagi memberi kefahaman kepada umum mengenai undang-undang atau sebarang konvensyen membabitkan negara.

“Justeru, jawatankuasa perhubungan antarabangsa ini sebaiknya diwujudkan untuk membincangkan sehalus-halusnya apakah sebenarnya undang-undang antarabangsa supaya dapat difahami oleh ahli parlimen,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Antarabangsa TerraLex, iaitu salah satu rangkaian perundangan global terbesar dunia.

Mesyuarat empat hari anjuran firma guaman Azmi & Associates itu membabitkan perbincangan dan pembentangan 130 pakar perundangan dari seluruh dunia selain berkongsi pandangan dan perancangan.

Antaranya, berhubung isu penggabungan dan pemerolehan global serta serantau, tenaga dan alam sekitar, perbankan Islam, teknologi, ekonomi digital dan cukai serta dagangan antarabangsa.

Delegasi juga akan membincangkan mengenai kesan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China terhadap negara serantau.

Tumpuan mesyuarat itu adalah untuk membina kefahaman berhubung pasaran dan rangka undang-undang di Asia Tenggara khususnya di negara ini, dengan matlamat meningkatkan pelaburan asing dan transaksi dagangan global serantau.

Diminta mengulas mengenai ucapan perasmian beliau pada mesyuarat itu, Mohamad Ariff berkata negara bernasib baik kerana mempunyai hakim yang pakar dan berkeupayaan memutuskan kes dengan tepat mengikut kehendak perdagangan.

Beliau berkata, ilmu dan kepakaran itu bagaimanapun hendaklah dipertingkatkan lagi supaya setanding dengan kehendak antarabangsa.

Katanya peguam juga perlu mempertingkatkan kemahiran dalam aspek pengkhususan mereka dan memainkan peranan untuk memupuk keyakinan dalam pasaran – Berita harian