IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa dakwaan kononnya Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan dilakukan pada Oktober ini adalah tidak benar sama sekali serta mengelirukan masyarakat.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, SPR mengesan terdapat dakwaan tersebut di media sosial yang mula ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak Isnin.

Kenyataan itu menjelaskan, bahawa video yang tular itu sebenarnya adalah latihan simulasi oleh kakitangan SPR.

SPR juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi SPR.

Pengurusan Tertinggi SPR sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.