TAIPING : SPRITZER Bhd., pengeluar air minuman mineral dalam botol yang terkemuka, menyambut ulang tahun yang ke-30 dengan majlis makan malam, baru-baru ini.

Bertemakan “Menyatu dengan Alam Semula Jadi”, majlis makan malam tersebut diadakan di Spritzer EcoPark yang terletak di pekarangan kilang SPRITZER di Taiping, Perak.

Majlis dihadiri lebih daripada 1,500 tetamu yang terdiri daripada rakan perniagaan, penyokong, pengamal media dan kakitangan syarikat.

Selain daripada menjamu selera dan menikmati hiburan secara “live”, para tetamu juga dibawa melawat kilang pengeluaran dan bermain golf di mini golf 18-lubang di SPRITZER EcoPark tersebut.

Acara kemuncak pada majlis itu adalah penampilan khas oleh artis tempatan Ayda Jebat serta pasangan duo Fuying dan Sam.
Majlis dirasmikan oleh Encik Kenny Lim, Ketua Pegawai Eksekutif SPRITZER Bhd.

Lim dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua di atas sokongan yang diberikan kepada SPRITZER sepanjang 30 tahun beroperasi.

Beliau turut berkongsi pengalaman syarikat mengharungi ranjau dan cabaran pada peringkat awal penubuhannya sehingga menikmati statusnya kini sebagai pengeluar unggul dalam industri air minuman dalam botol.

“Di SPRITZER, kami berpegang teguh kepada empat nilai teras utama iaitu integriti, boleh dipercayai, saling hormat menghormati dan membincangkan segala idea terhadap apa juga cabaran yang dihadapi secara terbuka,” katanya.

Diasaskan pada tahun 1989, SPRITZER merupakan satu-satunya syarikat pengeluar air minuman dalam botol yang tersenarai di Bursa Malaysia dan merupakan pengeluar secara bersepadu yang terbesar, dengan anggaran perolehan tahunan melebihi RM300 juta. SPRITZER menguasai lebih 40 peratus pasaran air minuman dalam botol di Malaysia.

Penjagaan alam sekitar sentiasa menjadi teras operasi syarikat sejak mula lagi.

Pelbagai langkah telah diambil termasuk penanaman lebih daripada 16,000 pokok di sekitar kawasan seluas 330 ekar, pengunaan basikal berkuasa bateri dalam kawasan kilang dan penggunaan botol yang lebih ringan untuk mengurangkan jejak karbon (carbon footprints).

Produk terbaharu SPRITZER, ACILIS, yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini, menggunakan botol yang berasaskan tumbuhan di mana 30 peratus daripada bahan plastik yang digunakan untuk membuatnya berasal dari serat tebu, menjadikan botol ini boleh urai.

Dalam usaha memastikan amalan yang lebih mampan secara menyeluruh, SPRITZER bekerjasama dengan beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi membina kesedaran terhadap pentingnya konsep 3R – kurang (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

SPRITZER juga terlibat dalam aktiviti pembersihan pantai dan penanaman terumbu karang.

Lim juga berkata, SPRITZER telah melabur lebih daripada RM200juta untuk projek menaik taraf kearah Industri 4.0 dalam masa tiga tahun akan datang.

“Projek ini termasuk penambahan production line, teknologi terkini dan Gudang automatik (ASRS) yang menampilkan ciri-ciri bangunan hijau mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau lagi, keseluruhan projek ini merupakan usaha dalam meningkatkan kapasiti serta menambah margin keuntungan SPRITZER.