KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat mana-mana syarikat dan individu yang mempunyai kaitan berhubung pendakwaan kes rasuah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat mana-mana individu yang terbabit dalam ke rasuah.

“Kami menyiasat siapa yang terlibat dengan rasuah. Setakat ini, ada satu syarikat (yang didakwa berkaitan dengan kes itu) mengatakan mereka tidak terlibat, terpulang kepada mereka untuk mengatakan.

“Hanya siasatan SPRM yang dapat menentukan. Jika siasatan kami menunjukkan bahawa syarikat itu tidak terlibat dalam apa-apa perkara rasuah, maka mereka tidak bersalah,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 45 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Pertuduhan dibuat mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pembekuan aset milik Ahmad Zahid, Azam berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian buat masa ini – berita harian