ALOR SETAR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bersedia mengambil tindakan sekiranya ada parti politik di negeri ini yang mengambil kesempatan menawarkan sogokan untuk mendapatkan sokongan ketika krisis politik sekarang.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata jika menerima maklumat ada parti yang menawarkan sogokan, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“SPRM bersedia 24 jam, bukan saja kes politik, malah kes lain yang berkaitan rasuah dan sogokan. Kalau ada laporan, kita akan ambil tindakan terhadap mereka yang terbabit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di Dewan Muhammad Adib, Jalan Suka Menanti, hari ini.

Hadir sama pada program disertai 300 anggota dan pegawai JBPM Kedah itu adalah Pengarah JBPM negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon.

Shaharom turut menasihatkan semua parti politik di negeri ini supaya melaksanakan tugas dengan bersih dan bebas daripada rasuah.

Dalam pada itu, Sayani berkata, budaya rasuah dalam kalangan anggota dan pegawainya setakat ini masih terkawal.

“Program seperti ini menjadi amaran kepada anggota dan pegawai JBPM Kedah supaya tidak terbabit dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan masa depan mereka. Jika mereka buat juga, tindakan tegas akan diambil terhadap termasuk boleh dibuang kerja.

“Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) dan Bahagian Siasatan Kebakaran lebih terdedah untuk menerima sogokan kerana mereka boleh mempercepatkan siasatan. Namun setakat ini, tiada apa yang berlaku di JBPM Kedah yang boleh mengaitkan anggota dan pegawai terbabit rasuah,” katanya.