SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pihaknya membekukan akaun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kerana dikaitkan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, dakwaan mengatakan pihaknya membekukan akaun jaguh badminton negara itu dalah tidak benar.

“Ia tidak benar,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menafikan dakwaan itu.

Beliau dipetik sebagai berkata ia adalah fitnah dan sudah bertemu dengan Lee Selasa lalu.

“Mana ada. Itu fitnah, ada ke yang cakap? Saya jumpa dia di rumahnya pagi Selasa lalu dan dia memang ada masalah pernafasan.

“Tak perlu kita melemparkan fitnah kepada atlet. Perbezaan ideologi politik tidak bermakna jasa seseorang atlet dilupakan.

“Ada ke yang cakap, tak fikir ke? Kasihan kalau orang cakap macam itu, agak-agaklah dan bagaimana keluarganya tahu.

“Dia sakit, ada pula kaitkan dengan 1MDB. Kalau saya tahu, saya akan bagi jawapan tapi ini bukan,” katanya.

Lee baru-baru ini mengesahkan tidak beraksi pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2018 selepas mengalami masalah pernafasan yang menyaksikan dia terpaksa berehat selama sebulan – hmetro