IPOH: Stadium Perak yang baru dinaiktaraf dengan kos kira-kira RM18.5 juta akan dijadikan zon larangan merokok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, larangan itu akan bermula dengan perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Perak dan PKNS FC pada 21 April depan.

Menurut beliau, pihaknya akan meminta bantuan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kesihatan untuk menguatkuasakan larangan tersebut.

“Kita kasihan juga tengok budak-budak dan wanita yang menonton pertandingan terganggu dengan asap rokok dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek naiktaraf Stadium Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Abdul Puhat berkata, zon larangan merokok itu akan dibuat sepanjang masa dan mungkin diperluaskan di venue-venue lain seperti kolam renang dan juga gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di daerah-daerah.

“Kita lihat dulu perkembangan di sini, lagi pun Kementerian Kesihatan telah mengumumkan beberapa tempat awam sebagai zon larangan merokok,” tambah beliau.

Beliau menambah, pihaknya mungkin menyediakan tempat-tempat khas untuk merokok tetapi akhirnya akan ditiadakan sepenuhnya.

Beliau memohon jasa baik semua pihak untuk memastikan stadium yang telah dinaiktaraf itu, digunakan dengan sebaki-baiknya dan jangan melakukan sebarang kerosakan seperti membakar mercun dan suar.

Majlis penyerahan projek naik taraf Stadium Perak turut melibatkan pemasangan kerusi dan trek larian.

Sementara itu, Zamri memberitahu, projek naik taraf Stadium Perak dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 April depan, termasuk grand stand dan baki 35 unit gerai.