STATUS Pulau Bebas Cukai (PBC) yang diberikan kepada Pulau Pangkor ketika pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober 2017 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadikan pulau peranginan itu semakin popular di kalangan pelancong domestik.

Berita gembira itu disambut gembira oleh seluruh rakyat Perak, khususnya warga Pulau Pangkor yang sentiasa menanti-nantikan keberhasilan perjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Perak.

Ekoran pengumuman itu, banyak peruntukan digunakan secara kreatif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dengan membuka peluang ekonomi, mempertingkat kemudahan asas dan meningkat imej Pangkor untuk menjadi semakin popular di mata pelancong.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak yang juga pemimpin masyarakat di Pulau Pangkor, Asmadi Teh berkata, banyak projek pembangunan untuk penduduk miskin dilaksanakan di pulau itu.

Antaranya projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Teluk Gedong, Teluk Kecil, Kampung Masjid dan Kampung Sungai Pinang Besar menerusi penyeliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa projek lain termasuk pembinaan sistem pembuangan sisa kumbahan lebih sistematik dengan kos RM40 juta oleh Indah Water Konsortium (IWK) manakala Telekom Malaysia (TM) menaiktaraf sistem capaian Internet UniFi juga dengan kos RM40 juta di pulau itu.

Masjid al-Badr atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Seribu Selawat yang bernilai RM11 juta berjaya menjadi monumen pelancongan baharu di pulau ini manakala Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan bernilai RM7 juta mampu meletakkan kedudukan Pangkor sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai PBC bermula 1 Januari 2020 juga ditunggu-tunggu oleh penduduk pulau itu yang berharap status tersebut dapat memacu pertumbuhan ekonomi pulau peranginan itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pangkor, Zamzuri Suid berkata, perubahan amat ketara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini terutama yang membabitkan peluang ekonomi dan kebajikan golongan penjaja yang dijangka bertambah baik hasil perisytiharan Pulau Pangkor sebagai PBC.

Sebagai salah sebuah pusat peranginan, faktor kebersihan dan keindahan pulau khususnya di kawasan tumpuan pelancong kini ditambah baik menerusi projek dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengusaha dan pekerja di sektor pelancongan di pulau itu diberi bimbingan cara berinteraksi yang betul dengan pelancong, sekaligus menunjukkan kerajaan mahu pendidikan modal insan dan peningkatan prasarana bergerak seiring.

Bagi penduduk Pangkor, semua projek pembangunan dilaksanakan itu ibarat `dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’ iaitu segalanya sudah dipersiapkan untuk mereka.

Bagi menampung peningkatan pelancong ke pulau itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan RM300 juta untuk menaik taraf jeti, termasuk jeti penumpang dan kargo.

“Kita mengesyorkan agar kerajaan Persekutuan dapat menimbangkan membuka lebih banyak zon pendaratan, terutama bagi kargo, para pekerja yang keluar masuk dan pedagang yang membawa masuk barangan mereka,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat NCIA di pulau bebas cukai itu, baru-baru ini.

Mesyuarat kali ke-23 itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sejak diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, lebih 500,000 orang telah mengunjungi Pulau Pangkor dan yang paling ramai ialah ketika cuti Hari Kemerdekaan baru-baru ini yang mencatatkan kemasukan kira-kira 30,000 orang pengunjung.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga telah memohon kepada Kementerian Kewangan agar tempoh kelayakan bebas cukai dipendekkan daripada 48 jam kepada hanya 24 jam.

“Pangkor adalah sebuah pulau yang kecil, kita tidak mempunyai bilik yang banyak buat masa sekarang dan aktiviti yang ada di sekitar pulau ini juga memadai untuk pelancong tinggal satu malam sahaja,” kata Menteri Besar.

Beliau berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Kewangan, sekaligus menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Pulau Pangkor, pulau bebas cukai yang mesra pengunjung.