IPOH, 18 DIS: Program Latihan Peningkatan akan dilaksanakan oleh Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi memberi pendedahan mengenai asas perniagaan kepada usahawan di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, program tersebut akan melibatkan semua peringkat usahawan termasuk belia.

“Program ini dilaksanakan untuk memastikan golongan usahawan ini memahami dan mematuhi aspek perundangan asas seperti pendaftaran perniagaan, pendaftaran lesen PBT dan pihak berkuasa lain, aspek kebersihan dan keselamatan premis dan makanan, asas pengurusan akaun dan dokumentasi perniagaan.

“Ini bagi memastikan semua peniaga, penjaja dan usahawan memahami aspek asas perniagaan bagi memastikan mereka menjalankan perniagaan dengan teratur dan tidak menghadapi halangan jika perniagaan semakin berkembang pada masa akan datang,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Tambah Saarani, program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PBT, Jabatan Belia dan Sukan serta persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik tadbir urus dan memperkasa peranan STeP bagi merangsang sektor keusahawanan di negeri ini.

Katanya, oleh itu, kerajaan negeri akan menambah jumlah kakitangan dan peruntukan STeP mengikut keperluan semasa.