PADANG RENGAS – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mewartakan Stesen Keretapi Bukit Berapit dekat sini yang dibina pada tahun 1905 sebagai warisan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha mewartakan stesen keretapi yang tidak lagi digunakan sejak 1989 itu bagi memastikan kerja-kerja memelihara dan memulihara dapat dilakukan sekali gus menjadikan ia sebagai produk pelancongan warisan baharu.

Menurut beliau, Tourism Malaysia dan Jabatan Warisan Negara akan bekerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi untuk membaiki semula dua bangunan yang terdapat di tapak itu.

“Bayangkan stesen ini sudah berusia lebih 100 tahun, banyak daripada kita yang sebenarnya langsung tidak sedar dengan kewujudannya, jadi diharapkan dengan perwataan ini ia bakal menarik lebih ramai pelancong datang.

“Bila ia sudah siap dibaiki nanti saya harapkan ia bukan hanya pemuliharaan untuk sementara waktu tetapi untuk selama-lamanya kerana nilai sejarah yang ada di stesen ini amat-amat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kelestarian Warisan Alam di Terowong Bukit Berapit dekat Padang Rengas yang dianjurkan oleh Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM) pada Sabtu.

Tambah Mohamed Nazri, sebaik ia siap dibaiki, kementeriannya akan mengadakan beberapa siri program serta usaha bagi mempromosi stesen berkenaan yang turut mempunyai kawasan air terjun serta empat terowong laluan keretapi tidak digunakan lagi.

Program berkenaan diadakan untuk memberi pendidikan alam sekitar dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk memelihara serta memulihara stesen keretapi terbabit.

Presiden WASM, Puan Sri Datuk Dr Aishah Salleh berkata, langkah mewartakan stesen keretapi berkenaan dianggap amat tepat dan amat dialu-alukan oleh pertubuhan serta penduduk sekitar.

“Stesen ini telah ditinggalkan selama 30 tahun selepas wujud landasan berkembar sekitar 1989, ia dibiarkan sahaja begitu sehingga hilang di telan hutan.

“Syukur hari ini dengan kerjasama pelbagai agensi, kita bersihkan kawasan sekeliling dan kini ia nampak lebih mesra pelancong, diharapkan kerja-kerja membaik pulih bangunan dan sebagainya dapat dijalankan tanpa sebarang halangan,” ujarnya ketika ditemui.