KUALA LUMPUR: Stesen LRT Kelana Jaya kembali beroperasi jam 9.50 malam tadi, beberapa jam lebih awal dari waktu yang dijadualkan sebelum ini.

Stesen itu sebelum ini dikatakan akan dibuka semula kepada pengguna pada jam 6 pagi ini, selepas operasinya dihentikan sementara sejak petang kelmarin berikutan sebahagian bumbung stesen tercabut dan diterbangkan angin.

RapidKL mengumumkan perkembangan terbaharu itu menerusi laman Facebook dan Twitter rasminya, malam tadi.

Dalam kenyataan awal, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyebut, stesen itu akan dibuka semula kepada pengguna pada jam 6 pagi ini.

Sementara itu, orang ramai memuji kerja baik pulih pantas yang dilakukan kakitangan RapidKL.

Sepanjang penutupan stesen itu, bas perantara percuma disediakan untuk membawa penumpang dari Stesen Taman Bahagia ke Stesen Kelana Jaya dan sebaliknya – berita harian