TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Taiping merampas 5,200 liter diesel dan 900 kilogram (kg) minyak masak dalam satu serbuan di sebuah stor kedai barangan lusuh di Jalan Taiping-Bagan Serai berhampiran Taman Berkat, di sini.

Ketua Cawangannya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, dalam serbuan itu, beliau bersama beberapa pegawai menemui tong berisi diesel dan minyak masak.

“Ketika diserbu, stor itu dikunci dan kami terpaksa gunakan alat pemotong untuk membuka pintu stor berkenaan.
“Sebaik dibuka dianggarkan 58 tong berisi minyak masak berjumlah 17kg setiap satu dan 18 tong diesel disimpan di satu tempat sama,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.

Mohamad Kamarol berkata, modus operandi kes berkenaan dipercayai mungkin pemilik stor membeli minyak-minyak tersebut daripada pihak tertentu dan kemudian menjualnya kepada pihak industri.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menjalankan siasatan terperinci berhubung penemuan ini dan pemilik stor ini juga akan dikesan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui alat pengepam dan beberapa getap paip yang dipercayai digunakan untuk menyedut minyak di dalam stor itu.

“Dianggarkan nilai rampasan adalah sebanyak RM12,598 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Sinarharian