Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Biarpun sedih, seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan bersyukur kerana terselamat dalam nahas jalan raya yang mengorbankan nyawa teman karibnya, petang semalam.

Wanita Orang Asli yang sedang menunggu hari itu, Wak Andak Sihiba a/p Bah Uda Gegak, 33, hanya mengalami kecederaan patah kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 15.8, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, Gopeng.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang, Wak Andak membonceng motosikal yang ditunggangi rakan baiknya, Wak Bita a/p Bah Nordin, 33, ketika balik dari tempat kerja.

Wak Andak juga bernasib baik kerana bayi dalam kandungannya didapati selamat dan berada dalam keadaan stabil.
Ketika ditemui, Wak Andak ditemani suaminya, Rahman a/l Bah Slepan, 27.

Menurut Rahman, beliau bergegas ke hospital sebaik sahaja menerima panggilan daripada pihak polis mengenai kemalangan itu.

“Fikiran saya memang tidak tentu arah sebab fikir yang bukan-bukan. Isteri saya sudah masuk lapan bulan mengandung dan saya diberitahu rakannya meninggal dunia. Ketika itu, saya terus terdiam.

“Apabila doktor memberitahu isteri saya hanya patah kaki kanan dan jari kiri, malah keadaannya stabil, saya terus berasa lega. Bayi kami juga selamat, syukur…syukur,” katanya kepada Suara Perak.

Rahman berkata, isterinya tidak sedarkan diri berikutan kemalangan itu dan hanya mengetahui bahawa rakan sekerjanya telah meninggal dunia setelah dirawat di hospital.

Jelasnya, beliau bimbang dengan keadaan psikologi isterinya yang seakan-akan masih trauma dengan insiden itu apatah lagi dengan jangkaan kelahiran anak kedua mereka pada bulan hadapan.

“Wak Andak cuma memberitahu dia tidak percaya kawannya telah pergi, dan saya akan berada di sisinya untuk memastikan dia tidak berasa tertekan.

“Beliau memberitahu, ketika kemalangan itu berlaku, mereka baru sahaja balik dari kerja. Mereka menyedari kenderaan pacuan empat roda itu meluru laju dan merempuh bahagian belakang motosikal, isteri saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu,” katanya lagi.

Rahman berkata, doktor menasihatkan isterinya untuk berehat dan akan dibenarkan pulang sebaik sahaja kesihatan ibu dan kandungannya semakin stabil.