IPOH: Sepasang suami isteri dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini atas dakwaan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM), kira-kira dua tahun lalu.
Lim Kar Keong, 47 dan Chang Suet Ping, 38, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Kedua-duanya dituduh menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen mengikut Seksyen 7 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Simtel Mobile Trading di No S62, Kampung Baru, Mambang Diawan, Kampar, dekat sini pada 10 September 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima Khalid membenarkan setiap tertuduh dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Steve Chin Yon Cheong, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chiang Mei Wan. – BH Online