KANGAR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka berusia 14 tahun awal bulan ini.

Bapa tiri mangsa berusia 26 tahun dan ibu kandung berumur 37 tahun, didakwa secara bersama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu antara jam 6 petang pada 6 Februari hingga 12.30 tengah malam 7 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Tengah, Kuala Perlis di sini.

Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa ditampar, dipukul menggunakan topi keledar dan dirantai pada bahagian tangan serta leher.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh lelaki yang memakai baju T berwarna kuning dan isterinya bertudung kuning, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Johari Hassan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mangsa tinggal bersama mereka, dan menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan kini diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara menunggu proses perbicaraan.