IPOH: Suami Youtuber masakan terkenal yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Selasa lalu.

Tertuduh, M. Sugu, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Menurut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukur 66 sentimeter (26 inci) bertukis tiger di parkir HRPB kira-kira jam 6 petang, 21 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan tetapi peguam Mahinderjit Singh memohon jaminan kerana ia merupakan kes keganasan rumah tangga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

M. Pavithra, 28, yang turut berada di mahkamah bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.