IPOH: Suami yang juga pasangan Youtuber masakan terkenal ditahan reman tiga hari kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dalam kejadian di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Isnin.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang Selasa, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk telah membawa senjata sabit ke hospital mencari adik iparnya berkaitan satu masalah keluarga.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan berkaitan satu majlis di Ipoh, Isnin lalu.

Perselisihan berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital dan dalam keadaan marah telah memukul isterinya di pekarangan hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan siasatan awal mendapati kes berpunca daripada perselisihan faham ahli keluarga.