PENYERANG Atletico Madrid, Diego Costa mengakui menantikan lebih banyak kemagisan Luis Suarez selepas bekas pemain Barcelona itu membantu kelab Madrid berkenaan membelasah Granada 6-1 pada saingan La Liga di Estadio Wanda Metropolitano.

Menurut pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu, pada mulanya dia tidak menyangka pemain yang enam musim dengan catatan 198 gol bersama Barcelona berkenaan kini menyarung jersi kelab seteru terdekat Real Madrid tersebut.

“Sejujurnya Atletico Madrid sangat beruntung kerana dapat mengunakan khidmat Suarez, namun pada masa sama saya hairan bagaimana Barca boleh membiarkan pemain sehebat Suarez pergi meninggalkan Nou Camp.

“Biarpun begitu saya percaya Suarez akan menolong kami mencipta lebih banyak peluang dan gol termasuk menyuntik semangat kepahlawanan dalam kalangan pemain kelab ini.

“Saya juga harap Suarez dengan pengalamannya bersama kelab besar sebelum ini dapat membantu kami memenangi lebih banyak kejuaraan buat penyokong Atletico Madrid, tetapi kami realistik bahawa perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Pada aksi di Madrid itu, Costa meledak gol pembukaan pada minit kesembilan perlawanan babak pertama digantikan dengan Suarez pada babak kedua.

Suarez tidak perlu menunggu lama apabila meledak dua gol pada minit ke-85′ dan 93′ disamping bantuan gol dalam 20 minit sebelum perlawanan berakhir.

Kemenangan besar ke atas Granada itu membolehkan Atletico Madrid kini mengumpul tiga mata selepas mengharungi satu perlawanan.

Sementara itu, Costa yakin gandingannya bersama pemain Uruguay berusia 33 tahun berkenaan akan memberi nilai tambah di bahagian depan walaupun Suarez terkenal dengan kontroversi di padang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Suarez seorang pemain berkualiti dan berpengalaman, salah seorang daripada kami boleh agresif manakala seorang lagi boleh mengigit,” katanya yang mengimbau kembali gigitan Suarez terhadap pemain Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia 2014.

Difahamkan penyerang Uruguay itu juga melakukan kesalahan sama ketika menyarung jersi Liverpool dan Ajax Amsterdam sebelum ini.