JAKARTA: Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga pada Rabu secara tegas memberi amaran kepada China agar tidak melakukan sebarang tindakan yang meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

“Kami menentang apa sahaja tindakan yang meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan,” kata Suga pada sidang media di Jakarta, sempena penutup lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan tersebut bulan lalu, lapor Jiji Press.

Semasa lawatan Asia itu, beliau turut mengunjungi Vietnam.

“Saya telah memperbaharui tekad untuk terus mewujudkan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sambil terus mengadakan sidang kemuncak diplomasi dan bekerjasama rapat dengan ASEAN,” katanya.

Suga berkata visi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka tidak menyasarkan negara tertentu, jadi Jepun boleh bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai pandangan sama mengenai inisiatif itu.

“Kami sama sekali tidak mempunyai rancangan untuk mewujudkan Indo-Pasifik versi NATO,” kata Suga, yang dilihat menyedari penentangan China terhadap inisiatif berkenaan.

Suga tiba di Jakarta dari Hanoi pada Rabu, dan bertemu rakan sejawatannya dari Vietnam Nguyen Xuan Phuc pada Isnin (19 Okt).

Kunjungan ke Indonesia melengkapkan lawatan empat hari beliau sehingga Rabu (21 Okt).

Lawatan empat hari ke dua negara Asia Tenggara dalam usaha Suga untuk mempromosi visi bebas dan terbuka Jepun dan Indo-Pasifik.