Jaguh sukan negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, dijangka digugurkan daripada kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila mesyuarat jawatankuasa pemilihan bersidang, esok.

Chong Wei dan Nicol tersenarai selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan, Mac lalu.

Ia menimbulkan persoalan kerana Chong Wei sudah menyuarakan pendirian menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang bertembung tarikh sama dengan temasya itu sementara Nicol mahu memberi laluan kepada muka baru.

Namun, menjelang fasa kedua mesyuarat sama di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), nama mereka dijangka digugurkan, sekaligus memperlihatkan bayangan lebih jelas mengenai kekuatan sebenar kontinjen negara.

“Kami telah membuat pemilihan ini lebih awal agar kami ada tempoh dua hingga tiga minggu kalau perlunya untuk kami memendekkan lagi senarai atlet yang akan ke Sukan SEA.

“Pada masa sama, kami juga perlu memastikan pemilihan dibuat adalah adil, termasuk atlet yang tidak berada dalam program Kita Juara,” jelas Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.

Tanpa Chong Wei dan Nicol, kontinjen negara masih memiliki beberapa nama besar seperti jaguh berbasikal trek dunia, Azizulhasni Awang, dan ratu terjun, Pandelela Rinong.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin kontinjen negara akan mencapai sasaran muncul juara keseluruhan seperti yang dilakukan ketika menjadi tuan rumah pada 2001.

-StadiumAstro