Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SLIM RIVER: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia untuk menggerakkan pasukan sukarelawan SPA Volunteer (SPAVOL) untuk bekerjasama dengan agensi seluruh negara bagi misi bantuan banjir.

Pengerusinya, Tan Sri Arpah Abdul Razak berkata, inisiatif itu bakal dijalankan melalui pendekatan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana alam berkenaan.

Beliau yang menaungi SPAVOL berkata, perlaksanaan itu diyakini dapat menepati hasrat SPA untuk mendekati dan membantu masyarakat melalui program SPAVOL yang dibentuk pada Mei tahun ini.

Katanya, ia dilihat sebagai salah satu cara untuk membantu mangsa banjir, lebih-lebih lagi dengan kekuatan ahli SPAVOL seramai 100,000 orang merangkumi kakitangan SPA dan orang awam.

“Kita bersedia untuk memberikan bantuan untuk mangsa banjir seperti barangan makanan namun sekiranya diperlukan dalam tujuan pembersihan rumah, saya rasa mereka (SPAVOL) juga bersedia.

“Saya juga berpesan dengan mereka untuk sentiasa melihat kepada keperluan merentasi sempadan, di negeri-negeri memerlukan di mana kita boleh datang dan memberikan bantuan.

“Tujuan utama kita adalah untuk mendekati rakyat, memberitahu cara mencari pekerjaan dan sebagainya. Di samping itu, kita juga boleh membuat kelainan melalui kerja murni kesukarelawanan.

“Ini bermakna mereka (SPAVOL) bersedia bekerjasama dengan sukarelawan dari agensi lain, bergabung tenaga dan pastinya, lebih banyak bantuan yang boleh kita beri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Kasih: Edisi Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Ulu Slim dekat sini pada Selasa.

Arpah berkata, SPA bersedia untuk memastikan pendekatan SPAVOL tidak terhad kepada program atau aktiviti mempromosi SPA kepada orang ramai namun diperluaskan juga ke bidang kesukarelawanan.

Dalam pada itu, program jelajah kasih yang menyantuni komuniti Orang Asli di sekitar Slim River itu disertai oleh lebih 10 agensi kerajaan dari seluruh negara.

Program yang bermula semalam itu disertai hampir 300 sukarelawan SPAVOL termasuk penglibatan beberapa agensi setempat termasuk mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Arpah, pihaknya akan meneruskan program seumpama itu dengan menggerakkannya ke kawasan-kawasan yang jarang-jarang dilawati oleh pihak luar pada masa hadapan.

“Saya lihat aktiviti kesukarelawan juga harus dipelbagaikan dan mungkin kita boleh bergabung tenaga dengan sukarelawan lain seperti iM4U dan sebagainya. Lagi ramai lagi bagus,” ujarnya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata, penglibatan golongan muda banyak membantu SPA dalam menjayakan program tanggungjawab sosial korporat sebagai platform merapatkan hubungan jabatan kerajaan dengan penduduk setempat.

Antara pengisian program itu ialah aktiviti gotong-royong membersihkan semak-samun di sepanjang jalan Pos Bersih, mengecat klinik kesihatan, seminar motivasi kepada anak-anak Orang Asli dan melukis mural di SK Pos Bersih.

Selain itu, turut diadakan ialah kenduri rakyat dan penyampaian sumbangan barang keperluan harian kepada 70 keluarga Orang Asli.