IPOH – Kerajaan negeri memantau situasi jerebu yang melanda negeri ini menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 September, depan.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya akan mengambil maklum berhubung perkara itu berikutan temasya dwi tahunan berkenaan bakal melibatkan beberapa aktiviti luar dalam beberapa acara.

“Kita akan ambil maklum perkara ini bersama jawatan kuasa pusat kerana banyak aktiviti sukan luar dipertandingkan.

“Tambahan pula, Kerajaan Pusat menyalurkan dana RM160 juta bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukma Perak 2018,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berharap pihak sekolah dapat menghadkan aktiviti luar ketika keadaan cuaca berjerebu pada ketika ini.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga diharap dapat memantau perkara berkenaan.

“Keadaan berjerebu ini juga mengganggu penerbangan dan juga pelancong.

“Di Ipoh, jarak penglihatan adakah sejauh lima kilometer dan Manjung pula dua kilometer dan kita harap taklah sampai teruk sangat,” katanya – sinar