IPOH: Perak kini lebih bersedia memikul tanggungjawab menjadi tuan rumah Sukma 2018 dengan perasmian Kompleks Akuatik Amanjaya yang bernilai RM45 juta di sini, pada petang Jumaat.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sukma Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. berkata dengan adanya kemudahan kolam renang bertaraf Olimpik itu pihaknya berharap kontinjen renang akan lebih bersemangat dalam membuat latihan demi mencapai kemenangan bagi negeri ini.

Abdul Puhat, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berkata pihaknya juga bersedia untuk memastikan fasiliti dan kemudahan kolam renang itu sentiasa tersedia baik bagi kemudahan orang awam dan atlit negeri Perak kelak.

“Kita akui, dalam masa dua tiga tahun kebelakangan ini prestasi renang kita agak merosot jadi nak pulihkan balik akan ambil masa, mungkin tak sampai 10 (pingat) yang akan kita dapat tetapi sekurang-kurangnya empat atau lima.

“Kita cuba, itu harapan saya. Hasrat saya dengan adanya kolam ini akan lahirlah perenang-perenang seperti barisan perenang anak jati Perak yang sebelum ini pernah mewakili Malaysia ke pelbagai peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama negara,”katanya kepada pemberita hari ini.

dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Kompleks Akuatik Amanjaya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Kompleks Akuatik Amanjaya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Turut hadir Presiden Renang Perak, Oon Kee Seng.

Abdul Puhat berkata pengalaman dalam beberapa siri kejohanan sukan peringkat kebangsaan turut membuatkannya yakin bahawa acara renang pasti tidak akan menghampakan di dalam merebut beberapa pingat dalam acara SUKMA pada September ini.

Katanya, kolam renang yang siap dalam masa 19 bulan itu turut dilengkap dengan dua kolam latihan, dua kolam rekreasi, call rooms, bilik persalinan, bilik mesyuarat serta kapasiti yang memuatkan sehingga 3,000 penonton pada sau masa.

Menurut Abdul Puhat, buat masa ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih dalam proses menetapkan harga tiket masuk namun ianya akan mulai dibuka kepada orang awam bermula 1 Mei depan.

Tambahnya, antara ciri utama kolam itu adalah saiz kolam pertandingan dengan 10 lorong sepanjang 50 meter serta lebar 25 meter dengan kedalaman 2.5 meter.

Katanya, ia juga dilengkapi dengan satu kolam terjun sedalam 25 meter dan selebar 25 meter dengan kedalaman lima meter lengkap dengan sebuah menara terjun bagi acara Sukma kelak.

“Kita beri masa selama sebulan kepada para atlit untuk menjalankan latihan teknikal dan mengetahui samada ada sebarang perkara yang perlu diberi perhatian, namun kita akan buka sepenuhnya kepada orang ramai untuk menggunakan kolam rekreasi itu pada 1 Mei depan,”ujarnya lagi.

Katanya, pihaknya juga telah mendapat beberapa permintan daripada pihak Majlis Sukan-sukan Sekolah untuk aktiviti terdekat menjelang bulan Mei hadapan dan akan memulakan acara Pra-Sukma 2018 pada bulan Jun hadapan.