IPOH 20 Jun – Kontinjen negeri disasar meraih 50 pingat emas berbanding sasaran awal 70 emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pengurangan sasaran pingat emas itu diputuskan setelah perbincangan dua hala antara Pejabat Exco bersama Majlis Sukan Negara (MSN) Perak dan pengurusan pasukan kontinjen negeri.

Katanya, langkah tersebut dilihat lebih realistik dengan keupayaan dan persediaan pasukan kontinjen negeri.

“Sasaran pingat emas sebelum ini tidak mengambil kira pelbagai faktor yang memberi kesan terhadap kontinjen.

“Walaupun kita menjadi tuan rumah tetapi tidak semestinya kita perlu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi tanpa mengambil kira faktor sekeliling yang memberi kesan terhadap prestasi atlet,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE