IPOH: Perak optimis mampu meraih kedudukan lebih baik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang dijangka berlangsung pada 6 hingga 14 Mac tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, selepas sekadar meraih tangga kelima pada temasya di Perak dua tahun lalu,
setiap atlet dilihat begitu bersemangat menjalani latihan dibawah kelolaan jurulatih masing-masing.

Menurutnya, Perak mempunyai kelebihan kerana mempunyai fasiliti sukan selepas menjadi tuan rumah SUKMA 2018.

“Itu kelebihan yang ada pada kita dan kita berkeyakinan ada beberapa atlet kita mampu memecahkan rekod kebangsaan termasuk dalam kategori senior dalam SUKMA itu nanti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tangan Prototaip Elektronik Cetakan 3D di Hub Inovasi dan Multimedia di sini, hari ini.

Pada temasya SUKMA Perak yang berlangsung pada 11 hingga 22 Sept 2018, kontinjen Perak meraih kedudukan kelima keseluruhan dengan mengutip 37 emas, 50 perak dan 55 gangsa.

Shahril berkata, antara sukan yang dijangka mampu menjadi penyumbang pingat emas kepada Perak adalah acara menembak, angkat berat dan sepak takraw.

“Baru-baru ini kita telah muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL-Road to Sukma 2020 yang berlangsung di Kuala Lumpur, itu satu petanda yang cukup baik,” ujarnya.

Menurutnya, kontinjen Perak akan memasuki kem pusat selama tiga hari bermula 11 Sept ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bagi mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek termasuk mental dan fizikal.

“Selain itu, konsep sains sukan juga akan diterapkan kepada para atlet dalam kem ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum kejohanan bermula,” katanya.