Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merancang untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama sebuah pasar raya besar di Johor.

Sultan Ibrahim pada hantaran terbaru di Facebook bertitah pasar raya tersebut akan menjual barang keperluan pada harga lebih rendah.

“Pasar raya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan pada kualitinya.

“Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan baginda dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook itu, Sultan Ibrahim kini berada di Timur Tengah atas lawatan peribadi dan turut memikirkan keperluan rakyatnya.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan Projek Rumah Impian Bangsa Johor – malaysia kini