IPOH– Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri Perak dan Perasmian Masjid Al Hidayah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Pegoh Seberang, Lahat, dekat sini petang tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 7 petang disambut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, yang mewakili Menteri Besar YB Asmuni Awi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin, barisan anggota Exco kerajaan negeri Perak, wakil-wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan baginda menanam pokok doa (Bucida Batik) sebagai simbolik kepada perasmian masjid yang disaksikan kira-kira 1,000 hadirin.

Hadirin turut diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, disusuli dengan bacaan Yassin, tahlil serta doa.

Usai bacaan Yassin dan tahlil, baginda kemudiannya berbuka puasa bersama-sama kira-kira 1,000 rakyat jelata, sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Seterusnya baginda menikmati juadah yang disediakan sebelum solat Isya’ dan Terawih.

Sultan Nazrin turut menyempurnakan penganugerahan bantuan zakat bagi daerah Kinta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Jumlah agihan zakat bernilai RM 1.174 itu melibatkan Mukim Ipoh, Mukim Ulu Kinta Kawasan Lahat, Mukim Ulu Kinta Kawasan Tanjung Rambutan, Mukim Ulu Kinta Kawasan Chemor, Mukim Sungai Raia, Mukim Sungai Terap, Mukim Tanjung Tualang serta Mukim Belanja Tronoh.

1/7