PETALING JAYA : Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur sikap segelintir umat Islam yang mengambil kesempatan apabila berlaku sesuatu musibah atau kemalangan.

Sultan Nazrin persoal adakah tahap kemiskinan begitu mudarat menyebabkan penduduk di beberapa kampung di negara ini berebut mengambil makanan yang bukan hak mereka daripada kenderaan yang ditimpa kemalangan.

“Jika demikian tahap kemiskinan yang mereka alami, sehingga terlupa hukum halal haram, ternyata ada institusi, termasuk institusi agama yang tidak memenuhi tanggungjawab membantu nasib penduduk yang sedemikian darurat, daif dan miskin.”

Sultan Nazrin berkata demikian dalam ucapan di sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Pada 26 Julai 2017, media melaporkan orang ramai di sebuah kampung berkerumun mengutip timbunan beras yang jatuh daripada lori yang membawa muatan 40 metrik tan bekalan yang terlibat dalam kemalangan.

Pada 31 Julai 2019, sebuah treler membawa muatan susu, terbalik di sebuah kampung menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan. Rakaman video berdurasi 34 saat yang tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp, memaparkan penduduk kampung berpusu-pusu mengutip taburan tin susu terbabit.

Sultan Nazrin berkata masyarakat Melayu Islam pada satu ketika dahulu tersohor dengan nilai-nilai murni dan prinsip integriti yang luhur.

Bahkan, katanya, ada dalam kalangan mereka yang sanggup berjalan kaki dan berbasikal untuk mencari ataupun menyampaikan ilmu di rumah-rumah dan madrasah.

Namun, Sultan Nazrin berkata sikap itu tidak lagi kelihatan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, bilangan cendiakawan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam semakin bertambah tetapi negara tetap menyaksikan kejadian rasuah dan pecah amanah pada skala besar seperti yang dilaporkan media pada ketika ini.

“Apakah nilai yang merosakkan susu. Apakah petualang yang merosakkan nilai mulia, nilai terhormat dan nilai murni yang dimiliki umat Islam di bumi ini pada satu masa dahulu?”

Tambahnya, nilai murni tidak boleh diuar-uarkan atau dimegahkan dengan kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah pun menjadi sejarah.

“Tidak siapa yang akan mempedulikan apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini.”

Kata Sultan Nazrin, pengalaman dan kisah-kisah lalu sewajibnya dijadikan pedoman dan kompas ketika merangka program agar dapat mengubati apa jua wabak yang ada dalam batang tubuh institusi Islam.

“Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik.”

Kata Sultan Nazrin, umat Islam hendaklah berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang terlalu cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan masalah kerana mahu mendapat kemenangan cepat.

“Terlalu kerap, penyelesaian diformulasikan untuk mendapat kemenangan cepat; kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya dan yang amat sementara sifatnya,” katanya.

Kegemilangan Islam

Sultan Nazrin seterusnya memberitahu bahawa kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi.

Sehubungan itu katanya, kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata dan naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris.

“Survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan dengan kaedah menakut-nakutkan ummah, sehingga ummah mempunyai prejudis – mempunyai prasangka, tidak selesa – merasakan diri sebagai makhluk asing apabila berada dalam situasi yang dikelilingi oleh bukan Islam.

“Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi pengecut dan penakut.

“Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan, kerana ummah akan hilang keyakinan, dan ummah akan gentar untuk bersaing di dunia yang lebih besar, apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri,” kata Sultan Perak.

Dengan menegaskan agama terbukti memiliki satu tenaga kekuatan dan daya tarikan luar biasa untuk boleh menggerakkan orang ramai, Sultan Nazrin menambah, “agama terdedah untuk dijadikan instrumen bagi mencapai cita-cita sempit individu atau kumpulan, jika orang ramai dapat diyakinkan, dan jika orang ramai tanpa terlebih dahulu memeriksa fakta dan kesahihan, dan tanpa berfikir, menerima slogan atau retorik agama yang dilaungkan.”

“Oleh itu, umat Islam yang cintakan Islam, dan umat Islam yang memahami ajaran Islam yang sebenar, tidak harus berpeluk tubuh, memilih menjadi penonton dan majoriti yang membisu, merelakan Islam dirampas oleh kumpulan-kumpulan yang memanipulasikan Islam untuk tujuan sempit,” katanya.

Malah kata Sultan Nazrin, umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program-program Islam yang lebih berkesan.

“Umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa, agar menjadi minda dan jiwa merdeka, meletakkan sepenuh pengabdian kepada Allah, lantas tidak akan bersekongkol, di sebaliknya berani menentang kemungkaran.

“Setiap keluarga Islam wajib sedar, bahawa Islam yang diwarisi secara automatif melalui kelahiran itu, perlu diperlengkap dengan pengisian,” katanya.