KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima zakat perniagaan 2016 berjumlah lebih RM13.12 juta yang diserahkan lapan agensi kerajaan dan syarikat swasta di Istana Iskandariah di sini hari ini (Sabtu).

Penyerahan diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Sektor Korporat, Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Belia.

Ia terdiri daripada Tenaga Nasional Berhad (RM6.45 juta); PLUS Malaysia Berhad (RM4.29 juta); Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (RM1.53 juta); Telekom Malaysia Berhad (RM225,141); Perbadanan Menteri Besar (RM213,188.58); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM171,018.43); Felda Global Ventures Holdings Berhad (RM128,953) dan GITN Sdn Bhd (RM100,000).

Baginda kemudian menyerahkan cek bayaran berkenaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kemudian berbuka puasa bersama tetamu dan selepas itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.