Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kayuhan Merdeka 2017 yang memasuki edisi keempat bakal dimeriahkan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, sejak penganjurannya pada tahun 2014, program kayuhan rakyat itu berjaya menembusi pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi wadah perpaduan kaum.

Katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjangkakan 1,000 peserta akan menyertai aktiviti berbasikal yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan ia terbuka kepada dua kategori iaitu terbuka dan tertutup.

“Kategori terbuka meliputi laluan 25 kilometer, manakala 10 kilometer diputuskan bagi kategori tertutup.

“Pendaftaran telah dibuka kepada orang ramai sejak 8 Ogos lepas sehingga 28 Ogos ini.

“Mereka yang telah mendaftar boleh mengambil ‘goodies’ di Bangunan MBI pada 29 dan 30 Ogos kelak,” katanya pada sesi tinjauan laluan Kayuhan Merdeka 2017 di sini pada malam Khamis.

Antara laluan tersebut ialah Dataran Bandaraya, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Panglima Bukit Gantang, Dewan Bandaran Ipoh, Bulatan Taman D.R, Jalan Dato Ahmad Said dan Bulatan Polo Ground.

Zamri berkata, peserta berdaftar akan mendapat t-shirt khas, sijil penyertaan, lampu LED dan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama iaitu sebuah motosikal, basikal dan barangan elektrik.

Katanya, orang ramai boleh merujuk kepada poster, hebahan aplikasi Whatsapp dan Facebook dan ruang periklanan yang dipaparkan oleh MBI untuk maklumat lanjut.

“Tahun lepas, kita menerima sambutan luar jangkaan lebih daripada 2000 masyarakat dari dalam dan luar Perak turut menyokong aktiviti ini, jadi tentulah kami berharap ianya turut menjadi luar biasa tahun ini,” ujarnya.

Pembayaran boleh dibuat secara tunai ke akaun Maybank 5583-1442-5352 milik Kelab Sukan Dewan Bandaraya Ipoh dan resit bayaran perlu dikemukakan sebagai bukti penyertaan.

Untuk sebarang pertanyaan, peserta bolehlah menghubungi Jawatankuasa Pendaftaran di Tingkat 4, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta atau menghubungi Hakimi dan Meor di talian 05- 208 3306 dan 05-208 3307.

Program Kayuhan Merdeka 2017 akan berlangsung pada 30 Ogos ini bermula pada pukul 7 malam di Dataran Bandaraya Ipoh.

Orang ramai yang berminat menyertai kayuhan ini boleh mendapatkan borang pendaftaran di laman web www.mbi.gov.my dan membuat bayaran sebanyak RM50 seorang.

kayuhan-merdeka 3