KUALA LUMPUR, 19 DIS : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berangkat tiba di Masjid Ar-Rahah, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 9.49 pagi adalah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Selang beberapa minit kemudian, kenderaan membawa Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat tiba dan memasuki perkarangan masjid.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), orang ramai yang mengambil kesempatan untuk menziarah Allahyarham Tun Rahah diberikan kad nombor giliran, sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

Mereka turut diwajibkan untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengambil saringan suhu badan di pintu masuk masjid, yang diselia pasukan keselamatan.

Pendekatan itu diambil pasukan keselamatan, selari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di sini, sehingga 31 Disember ini.

Tun Rahah, 87 yang juga balu kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, meninggal dunia, petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court.