IPOH 10 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkuatkuasa hari ini.

Dato Pengelola Bijaya DiRaja, Kolonel Dato’ Abd Rahim Mohamad Nor berkata, Sultan Perak telah menerima menghadap Ahmad Faizal pada pukul 9.30 pagi di Istana Kinta sekaligus beliau memaklumkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan tidak lagi mempunyai majoriti mudah untuk meneruskan kerajaan yang dibentuk.

Katanya, Ahmad Faizal telah menyembahkan warkah peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak dan mengetuakan Majlis Mesyuarat Kerajaan berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) Perkara XVI, Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan mengambil maklum dan menerima peletakan jawatan Dato’ Seri Ahmad Faizal berkuat kuasa 10 Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Ahmad Faizal kemudian menyembahkan warkah atas nama Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak, menyembah maklum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak telag mencapai persepakatan dengan UMNO dan Pas bagi menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baharu.

“Pemimpin ketiga-tiga parti di peringkat negeri Perak telah dititahkan menghadap Duli Yang Maha Mulia untuk mengesahkan bahawa Ahli Dewan Negeri daripada tiga buah parti tersebut telah mencapai kata sepakat untuk mendapat perkenan Baginda menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

“Selanjutnya, pemimpin tiga parti politik berkaitan mempersembahkan nama-nama untuk pertimbangan Duli Yang Maha Mulia, memperkenankan lantikan Menteri Besar Perak yang baharu dan berikrar memberikan sokongan kepada ahli Dewan Negeri yang diperkenankan oleh Baginda,” katanya

Katanya, Baginda akan meneliti dan menimbangkan Ahli Dewan Negeri yang telah dicalonkan dan akan menggunakan kuasa Baginda menurut perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, melantik ahli Dewan Negeri yang pada timbangan Baginda boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri sebagai Menteri Besar Perak ketiga belas selanjutnya menetapkan tarikh mengangkat sumpah jawatan.