SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan supaya pentadbiran kerajaan negeri berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata baginda juga berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada saya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim untuk datang menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini (tadi).

“Dalam pertemuan itu, baginda Sultan Selangor berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor, malah baginda turut memberi perkenan agar pentadbiran kerajaan negeri berfungsi dan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, beliau sudah bermesyuarat dengan pengerusi parti komponen kerajaan termasuk Datuk Abdul Rashid Asari selaku Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor bagi membincangkan hala tuju Selangor.

Justeru katanya, pentadbiran itu berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya.

Terdahulu, Amirudin tiba di Istana Bukit Kayangan pada jam 8.50 pagi diikuti Gobind dan Izham. Ketiga-tiga pemimpin berkenaan berada di istana kira-kira dua jam sebelum beredar sekitar jam 11 pagi.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Parti Amanah Negara (lapan), BERSATU (lima), Barisan Nasional (lima) dan PAS (satu). -BH