PUTRAJAYA : Kerajaan Persekutuan mempunyai sumber mencukupi bagi menampung perbelanjaan termasuk untuk membayar gaji penjawat awam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia terbukti apabila penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A- dengan unjuran stabil.

Sekiranya kerajaan meminjam untuk membayar gaji penjawat awam seperti dakwaan pihak tertentu, penurunan penarafan kredit akan berlaku.

“Saya ingin tegaskan kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian.

“Kerajaan juga sedang menepati sasaran merendahkan defisit fiskalnya daripada 3.7 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018, kepada 3.4 peratus untuk tahun ini.

“Segala pinjaman kerajaan adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

“Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, dakwaan Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, dalam ucapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin lalu jauh meleset dan mudah disangkal.

“Mohamad mendakwa Kerajaan Persekutuan meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

“Dakwaan beliau jauh meleset. Bagi suku ketiga 2019, emolumen Kerajaan Persekutuan berjumlah RM19.9 bilion.

“Sebagai perbandingan, pendapatan kerajaan dalam suku sama berjumlah RM68.8 bilion, bermakna pendapatan kerajaan adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding tanggungan emolumen,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa berupaya membayar gaji penjawat awam dan memenuhi tanggungjawab kewangan yang lain, berbeza dengan situasi dialami kerajaan Kelantan.

Katanya, Kementerian Kewangan pada 14 Oktober lalu sudah meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan Kelantan berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian perbelanjaan negeri itu.

“Ini termasuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung 2019.

“Pada 2018, Kerajaan Persekutuan juga mendahulukan wang sejumlah RM91.5 juta kepada kerajaan negeri itu bagi tujuan sama demi kesejahteraan penduduk Kelantan.

“Dengan ini, jelas sekali kritikan Mohamad jauh tersasar dan sepatutnya dialihkan ke arah kerajaan Kelantan, bukannya Kerajaan Persekutuan,” katanya.