KUALA LUMPUR, 24 DIS – Selepas ditutup selama lebih dua bulan, kedua-dua taman tema di bawah kumpulan Sunway iaitu Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun kembali beroperasi dan dibuka semula kepada orang ramai sejak Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, menerusi kempen ‘State of Play’, taman tema seluas 52.41 hektar itu beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dibuka dengan kapasiti 50 peratus.

Menurutnya, beliau gembira kerana pembukaan semua kedua-dua taman tema itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang sebilangan besar terdiri dari keluarga dengan anak-anak kecil sejak hari pertama dibuka semula.

“Terdapat banyak pembelian tiket dalam talian dan pembukaan kembali kedua-dua taman tema ini akan membantu pemulihan ekonomi negara kita menerusi perjalanan domestik,” katanya ketika ditemui di Sunway Lagoon di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh penutupan bagi pencegahan dan pematuhan terhadap langkah-langkah antidemik kerajaan, pihaknya mengambil peluang dan mengeluarkan kos untuk menyelenggara semua kemudahan dan permainan yang terdapat di kedua-dua taman tema tersebut.

“Walaupun banyak pihak berdepan kesukaran akibat penularan koronavirus (Covid-19), kami tidak melakukan pemberhentian pekerja dan tetap membayar bonus bagi tahun 2019,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai SOP ketat yang dilaksanakan, Ho berkata, selain suhu badan diambil, kesemua kakitangan diminta untuk mengisi borang perisytiharan diri digital yang diperkenalkan.

Katanya, ruang pembasmi kuman turut disediakan di untuk kakitangan dan pengunjung Sunway Lagoon serta Sunway Lost World of Tambun.

“Semua kakitangan memakai pelitup muka dan petugas di barisan hadapan diminta memakai pelindung muka tambahan manakala mereka yang bertugas di kawasan titik sentuhan tinggi diminta turut memakai sarung tangan,” katanya.

Sementara itu katanya, penjarakan fizikal turut dipastikan di setiap stesen, bilik persalinan, bilik mandi dan kawasan tumpuan ramai.

Katanya, pengunjung digalakkan supaya membuat pembelian tiket masuk dan tempahan penginapan melalui dalam talian.

Ho berkata, pihaknya menawarkan pakej menarik untuk pengunjung dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.sunwaylagoon.com dan www.sunwaylostworldoftambun.com – SINAR HARIAN