MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bakal menampilkan sekurang-kurangnya lima muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), khusus bagi menggalas misi menawan semula beberapa kerusi tradisi miliknya yang tewas kepada pembangkang sebelum ini.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata senarai pencalonan sudahpun dikemukakan kepada pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Pusat untuk penilaian, termasuk dua lagi calon senior yang dikekalkan.

“Keseluruhannya, SUPP bakal bertanding di tujuh kerusi yang secara tradisi adalah milik parti ini. Namun, terserah kepada pucuk kepemimpinan BN Sarawak dan Pusat dalam menentukan calon yang bakal dipilih untuk bertanding dalam PRU14.

“Bagi SUPP, semua calon dikemukakan memenuhi kriteria dimahukan pucuk kepemimpinan, iaitu disenangi dan diterima di peringkat akar umbi, selain boleh menang dan mampu berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut menyatakan keyakinannya bahawa SUPP, yang juga parti komponen tertua di Sarawak mampu menawan semula kerusinya yang tewas kepada pembangkang, khususnya DAP dalam Pilihan PRU13.

“Kita yakin pemimpin muda diketengahkan kali ini pasti mendapat sokongan masyarakat Cina di bandar. Malah, keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-11 sebelum ini memperlihatkan trend kembalinya sokongan pengundi Cina di Sarawak kepada BN, khususnya SUPP.

“Kita yakin SUPP mampu mengekalkan momentum PRN11 dalam PRU14, sekali gus membantu BN Sarawak memperoleh keputusan `A+’ seperti dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi BN Pusat,” katanya.

Sebastian ketika mengulas lanjut, berkata masyarakat Cina harus memberi sokongan kepada calon parti itu bagi memastikan segala agenda pembangunan dirancangkan kerajaan BN, merangkumi aspek pendidikan dan ekonomi, dapat dilaksanakan.

“Sokongan itu penting bagi memastikan kesinambungan segala projek dirancangkan, yang tentunya memberi banyak manfaat kepada masyarakat Cina di Sarawak bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Ditanya mengenai calon bagi kerusi Parlimen Miri, beliau berkata, empat nama sudah dihantar untuk penilaian, seterusnya menjayakan misi SUPP bagi menawan semula kawasan itu yang kini dikuasai PKR.

“Kita yakin mampu menawan semula Parlimen Miri, lebih-lebih lagi dengan perolehan majoriti yang kecil oleh PKR pada PRU13. Namun, terserah kepada pihak atasan menentukan calon yang layak dan mampu menawan kerusi Parliman Miri daripada pembangkang,” katanya.

Selain Miri, SUPP akan bertanding di enam lagi kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang iaitu Stampin, Sarikei, Bandar Kuching, Sibu, Lanang dan Serian – berita harian