IPOH: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga buta.

J. Jayamalar, 36, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi tuduhan pertama dia didakwa melakukan eksploitasi pengabdian dengan cara penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan yang lain terhadap seorang pembantu rumah berusia 29 tahun dari 2011 hingga 20 Oktober 2019 di No 25, Hala Kledang Emas 11A, Taman Kledang Emas, Ipoh.

Dia dituduh mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga didenda.

Bagi tuduhan kedua pula dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah yang sama di tempat dan tempoh yang sama.

Dia dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Suaminya, V. Chandru, 35, pula dituduh melakukan eksploitasi pengabdian di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.

Azman menetapkan 20 Januari 2020 untuk tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Beliau turut mengingatkan tertuduh supaya mematuhi syarat tambahan yang dikenakan, jika tidak mahkamah boleh membatalkan jaminan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Matthews Jude.