LAPAN lelaki ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes pondan dipukul hingga cedera di Taman AST, Jalan Sungai Ujong, Seremban pada 15 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tangkapan terbaru dibuat pihaknya adalah ke atas enam lelaki pada Sabtu lalu dan kelmarin di sekitar Seremban.

Katanya, semua suspek berusia 16 hingga 37 tahun itu direman lima hari di lokap Balai Polis Sikamat bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Siasatan setakat ini mendapati insiden itu tiada kaitan dengan kemarahan terhadap LGBT (lesbian, gay, bisexual, & transgender) atau melanggan pondan,” katanya.

Polis menerima laporan daripada ahli keluarga lelaki berusia 32 tahun itu pada 8.57 malam 15 Ogos lalu mengatakan mangsa dipukul sekumpulan lelaki.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, pondan cedera di kepala akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Taman AST dan semua suspek melarikan diri sebaik membelasah mangsa dengan menggunakan kayu dan paip.

Terdahulu mangsa dikatakan didatangi kumpulan lelaki bermotosikal dalam kejadian 12.10 tengah malam itu.

Akibat kejadian, mangsa yang cedera di kepala serta badan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk rawatan lanjut.

Mangsa bagaimanapun dibenarkan keluar wad pada kelmarin – hmetro