BACHOK: Seorang pekebun yang dituduh membunuh anaknya berusia lapan bulan terpaksa diusung oleh anggota polis selepas suspek enggan keluar dari kenderaan untuk dibawa ke bilik perbicaraan di Mahkamah Majstret di sini hari ini. 

Suspek yang tiba di mahkamah dengan menaiki kereta polis pada pukul 9.20 pagi tadi tidak mahu keluar dan bertindak membaca pelbagai surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa.

Bagaimanapun, enam anggota polis terpaksa mengusung suspek masuk ke dalam mahkamah kira-kira 10 minit kemudian selepas usaha memujuknya menemui jalan buntu.

Dalam perbicaraan itu, suspek yang berusia 4o tahun itu dikenakan tahanan reman oleh Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor selepas mendengar permohonan daripada pihak polis.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ia berberkuat kuasa hari ini hingga Selasa depan.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan, mayat bayi berusia lapan bulan ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam guni yang ditinggalkan dalam rak di dapur rumah keluarganya di Kampung Sungai Dua di sini semalam.

Lebih menyedihkan, kulit leher mangsa didapati menggelupas dipercayai dilumur dengan garam kasar selain kesan lebam pada seluruh anggota badan.

Selain bayi itu, ibunya yang berusia 32 tahun turut dikurung dalam sebuah bilik selain mengalami kesan lebam pada kedua-dua belah tangan.

Bapa bayi itu dipercayai mengalami masalah mental dan pernah ditemui bercakap perkara yang tidak masuk akal selain perihal hantu kepada jirannya sejak dua minggu lalu. – UTUSAN