KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang mencampak kerusi pejabat sehingga mengakibatkan seorang remaja 15 tahun maut dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, dekat Pantai Dalam di sini, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini, pihaknya sudah merakam keterangan 43 individu membabitkan saksi dan penghuni PPR itu.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi baharu untuk membantu siasatan kes itu.

“Suspek perbuatan itu belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan.

“Bagaimanapun, kita sudah mengambil keterangan 43 individu setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, 15 Januari lalu, S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, maut akibat dihempap sebuah kerusi dicampak dari tingkat atas Blok 102 PPR Sri Pantai.

Ketika kejadian, mangsa berjalan bersama ibunya, M S Kasthuribai, 45, untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16 blok terbabit.

Terdahulu, anak bongsu dua beradik itu ke kedai runcit di bawah blok berkenaan sebelum kepalanya terkena sebuah kerusi pejabat dicampak dari atas sebaik mangsa menghampiri ruang tertutup berhampiran tangga.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dalam satu kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Polis Kuala Lumpur sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kerusi itu dan lima daripada saksi yang diambil keterangan bagi tujuan analisis.

Kes itu turut diklasifikasikan semula daripada Seksyen 304A kerana mendatangkan kematian secara cuai kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata setakat ini, pihaknya belum memperoleh keputusan DNA berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd