KUALA LUMPUR: Saksi yang melihat kejadian tembak pensyarah warga Palestin, mendakwa suspek yang menaiki motosikal jenis BMW GS itu seakan-akan warga Eropah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata bagaimanapun pihaknya masih mengumpul segala maklumat yang ada sebelum lakaran wajah suspek sebenar kejadian berkenaan diperoleh.

“Kita masih belum dapat mengesahkan kesahihan sama ada suspek terbabit adalah warga asing dari Eropah, namun maklumat itu adalah berdasarkan keterangan awal saksi.

BERITA BERKENAAN : Jabatan Imigresen Malaysia Bantu Jejaki Pembunuh Imam Palestin

“Selain itu, polis juga masih mengenal pasti motif sebenar kejadian ini, sama ada mempunyai kaitan dengan masalah dengan sebuah negara yang berjiran dengan Palestin.

“Kita juga mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai yang mungkin dapat membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, petang tadi.

Mohamad Fuzi berkata, polis juga masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada Hospital Selayang dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih, yang boleh menjejaskan siasatan, selain menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi semalam, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, ditembak dua suspek menaiki motosikal berkuasa besar jenis BMW GS, ketika mangsa sedang berjalan menuju ke surau berhampiran, tidak jauh dari pintu masuk hadapan kondominiumnya.

Mangsa yang ditembak lebih 10 das tembakan disahkan maut di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh – berita harian