USAHA menangkap suspek yang menembak mati pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh Fatma, masih giat dijalankan walaupun beberapa jejak sudah dikesan.

Difahamkan, seorang daripada suspek yang gambar sebenarnya didedahkan minggu lalu, dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara sejurus membunuh mangsa bersama seorang lagi lelaki.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneruskan siasatan untuk menjejaki suspek itu yang dipercayai warga Asia Barat atau Eropah.

“Usaha menjejak serta memburu masih dilakukan secara menyeluruh di dalam dan luar negara.

“Kita juga berhubung dengan INTERPOL (Polis Antarabangsa) dan rakan (polis) di rantau ASEAN bagi membantu mengesan suspek amat dikehendaki ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah Pingat Jasa Negara (PJN) kepada 214 anggota dan pegawai PDRM.

Beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada dua wirawati PDRM yang mengharumkan nama negara ketika temasya Sukan Komanwel 2018 yang lalu.

Media sebelum ini melaporkan Mohamad Fuzi sebagai berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, dua suspek terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan identiti palsu, malah tidak menolak kemungkinan mereka memiliki kemahiran dalam ketenteraan – hmetro