BATU PAHAT: Seorang warga emas yang ditolak dari atas pentas ketika kempen MCA di Taman Kota, Yong Peng di sini malam tadi, dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk kiri dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, susulan itu, suspek lelaki berusia 58 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berlaku pada jam 8.50 malam ketika program MCA Bahagian Ayer Hitam. Mangsa Tan Hong Hi @ Ting Hong Hi bertekak dan hampir bergaduh dengan suspek Ting Kheng Hwa yang memegang bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bahagian belakang pentas Yong Peng Street.

“Anggota bergegas ke lokasi untuk meleraikan keadaan dan tiba-tiba nampak suspek menolak mangsa jatuh dari pentas terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Wahib berkata, ketika kejadian, calon BN Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong baru memulakan ucapan kira-kira 10 minit.

“Punca kejadian disebabkan mangsa cuba menghalang tindakan suspek yang cuba meletakkan bendera PKR di kawasan pentas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pantas polis berjaya mengawal keadaan dari terus berlarutan.

Katanya, pihaknya turut menasihati penyokong mana-mana parti yang bertanding supaya menjaga tertib selain tidak mengganggu di antara satu sama lain sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya sudah berjumpa dengan wakil parti dan calon yang bertanding sebanyak dua kali iaitu pada 26 April dan 29 April di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

“Dalam perjumpaan terbabit mereka berjanji tidak akan menimbulkan kekacauan dan pergaduhan antara satu sama lain semasa kempen diadakan,” katanya – berita harian