KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu menyembunyikan diri, ketua sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, Goh Leong Yeong yang menjadi buruan polis, akhirnya diberkas awal pagi tadi.

Goh, 32 tahun, atau lebih dikenali sebagai Alvin, ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi ini bersama seorang wanita, dipercayai warga China, di sebuah hotel di pusat peranginan di Pahang.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI, suspek berjaya ditahan hasil risikan yang dijalankan pihaknya sejak 12 Oktober lalu.

“Setakat ini, status wanita yang ditahan bersama suspek masih dalam siasatan. Alvin ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Alvin, dipercayai koordinator kepada aktiviti Macau Scam di China, sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Dia telah melarikan diri 11 Oktober lalu, dibantu dua pengawal peribadinya, dengan cara memanjat pagar di bangunan ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Alvin sebelum ini dipercayai menukar lokasi persembunyian antara di ibu negara dan utara tanah air selepas melarikan diri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.