KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengesahkan sebuah syarikat di negeri ini memiliki permit sah mengeksport buaya hidup yang diternak di ladang miliknya di Siburan, Serian ke luar negara.

Pemangku Pengarah JHS, Hamden Mohammad, berkata insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London pada Khamis lalu, hanya membabitkan prosedur membawa masuk reptilia berkenaan ke United Kingdom, bukannya berkaitan masalah permit atau kes penyeludupan.

“Rekod JHS menunjukkan syarikat terbabit memiliki permit sah bagi mengeksport buaya berkenaan ke luar negara yang dikeluarkan pada Disember lalu. Justeru, kes yang berlaku tempoh hari tiada kaitan langsung dengan masalah permit.

“Berdasarkan maklumat diterima, kes berkenaan lebih membabitkan isu berkaitan kebajikan hidupan berkenaan, terutama membabitkan prosedur membawa masuk buaya itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kenyataan Hamden sebagai mengulas laporan agensi berita AFB berhubung kes rampasan 50 buaya hidup oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, Khamis lalu yang dikatakan berasal dari sebuah ladang penternakan buaya di Sarawak.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati setiap kotak yang sepatutnya hanya memuatkan empat ekor buaya namun syarikat berkenaan memuatkan 10 ekor.

Akibat daripada keadaan yang sempit itu menyebabkan buaya di dalam kotak berkenaan ‘bertarung’ sesama sendiri ketika dalam penerbangan dari Malaysia ke Heathrow.

Hamden ketika mengulas lanjut, berkata setakat ini syarikat berkenaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, buaya yang ditahan pihak berkuasa lapangan terbang negara berkenaan menahan buaya berkenaan kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk membawa masuk haiwan.

“Bagi sesetengah negara, mereka begitu mengambil berat mengenai keadaan dan kebajikan haiwan supaya tidak diabaikan syarikat yang diberikan lesen.

“Difahamkan, kegagalan syarikat berkenaan mematuhi SOP berkenaan menyebabkan reptilia itu ditahan pihak berkuasa lapangan terbang negara berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, permit yang dikeluarkan kepada syarikat penternakan berkenaan yang beroperasi di Siburan itu akan tamat pada 15 Mei ini – berita harian