SYDNEY: Sebuah syarikat China yang ada kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China dilaporkan mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan ABC News, Australia, jumlah itu adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci apa jenis maklumat 1,400 rakyat Malaysia itu yang dikumpul tetapi mendedahkan bahawa data 35,558 rakyat Australia yang bocor merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.

Selain warga Australia dan Malaysia, data itu membabitkan butiran 52,000 warga Amerika Syarikat (AS); 10,000 warga India; 8,700 warga Britain; 5,000 warga Kanada; 2,100 warga Indonesia dan 138 warga Papua New Guinea.

Antara lain, data warga AS yang dikumpul turut membabitkan anggota tentera termasuk pangkat pegawai, jaringan politik dan potensi masa depan jawatan ketenteraan.

Laporan ABC news itu turut mendedahkan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China dan Parti Komunis China adalah antara pelanggan utama Zhenhua Data, yang dilaporkan mempunyai 20 pusat pengumpulan data di seluruh dunia.

Selain maklumat dari sumber terbuka, beberapa butiran merangkumi data dipercayai dari rekod bank sulit, aplikasi pekerjaan dan profil psikologi.

menurut laporan sama, data itu dibocorkan kepada ahli akademik AS, Chris Balding, yang pernah bekerja di Universiti Peking, sehingga 2018, sebelum meninggalkan negara itu.

Balding kemudian menyerahkan pangkalan data 2.4 juta orang itu kepada syarikat keselamatan siber Internet 2.0 yang berpangkalan di Australia, yang berjaya mendapatkan 10 peratus data terbabit.

Balding berkata, data itu membuktikan China melakukan pengawasan secara besar-besaran terhadap rakyat di seluruh dunia. – AGENSI