IPOH: Sebanyak empat syarikat dan individu persendirian di negeri ini tampil menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM 3.5 juta sekaligus menjadikan mereka kumpulan penyumbang terbanyak setakat ini.

Sumbangan terbaru yang didorong kesedaran patriotik dan sayangkan negara itu menjadikan nilai sumbangan terkumpul setakat ini di negeri ini mencecah RM5 juta.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan terbaru itu membuktikan sokongan rakyat yang begitu bersemangat membantu pembinaan negara Malaysia di bawah kerajaan baharu sekaligu menunjukkan kesatuan yang ada kalangan rakyat untuk menyelamatkan negara.

“Kerajaan baru yang ada pada hari ni bertujuan tidak lain tidak bukan untuk menyelamatkan negara. Kita rasa amat bersyukur sekaligus mengharapkan di masa akan datang, ada lagi pihak di luar sana yang sudi menghulurkan bantuan kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat, saya berasa amat bersyukur..terutamanya pada hari ini kerana adanya penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM3.5 juta, saya mendoakan agar rezeki mereka (penderma) sentiasa diperluaskan, mendapat keuntungan dalam perniagaan dan kembali menyumbang kepada pembinaan negara kita semula,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program pemberian derma di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Darul Ridzuan dekat sini, hari ini.

Ahmad Faizal juga sempat meluahkan rasa bersyukur ke atas sikap rakyat Malaysia yang bersedia menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad yang menginginkan masyarakat bersatu hati membantu Malaysia.

Sementara itu, salah seorang penderma Pengarah Tian Siang Holdings Sdn Bhd, Tan Ka Kin berkata beliau amat berbangga menjadi salah seorang penyumbang kepada niat murni kerajaan untuk membina negara.

Katanya sumbangannya itu bertujuan ini melihat negara bebas hutang.

“Kami gembira kerana dapat menderma untuk THM, kerana sebenarnya ini amanah kita, membantu negara kita di waktu amat mencabar ini, dan saya harap tindakan ini akan mendorong lebih ramai orang tampil ke hadapan untuk menderma. Kami sayang negara ini, kami sayang Malaysia,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program tersebut.

Dalam majlis tersebut, Tian Siang Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi kenderaan BMW menyumbangkan sebanyak RM1 juta, Choo Bee Metal Industries Berhad (RM500,000) dan individu persendirian yang dikenali dengan nama Lim menderma sebanyak RM2 juta.