KDEB Waste Management Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik pada lori oleh subkontraktor syarikat sehingga tular di media sosial, hari ini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya memandang serius sekali gus amat kesal dengan insiden terbabit.

Menurutnya, syarikat berkenaan memohon maaf di atas insiden yang berlaku.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku itu tidak disengajakan sama sekali.

“Tindakan lanjut akan diambil terhadap pemandu subkontraktor yang terbabit atas kecuaian mereka yang tidak cermat ketika memasang bendera (Jalur Gemilang) itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook syarikat terbabit, hari ini.

Ramli berkata, semua pekerja KDEB Waste Management sentiasa menjunjung tinggi dan menghormati bendera negara, malah tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku tidak sepatutnya.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan seorang individu menegur pemandu lori KDEB Waste Management selepas dia mendapati bendera yang dipasang di hadapan lori itu terbalik.

Malah, pemandu terbabit memberi alasan bendera itu tersalah pasang oleh pekerja warga Bangladesh. – HM