SYDNEY: Australia perlu memberikan perhatian serius terhadap amaran ancaman tsunami yang mungkin akan melanda Sydney, demikian menurut pakar, lapor agensi berita Xinhua.

Penyelidik dari Universiti Newcastle dan Biro Meteorology mendapati mungkin akan berlaku tsunami disebabkan gempa bumi di Lautan Pasifik, yang boleh menjejaskan destinasi pelancongan Manly Corso yang terkenal di Sydney.

Ketua Penyelidik Kaya Wilson berkata, Sydney pernah terjejas akibat gempa bumi di Chile pada Mei 1960, menyebabkan gangguan besar ke atas Sydney Harbour, persiapan rapi perlu dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, pakar geosains pantai Dr Hannah Power berkata, meskipun mengharapkan tiada sebarang risiko, namun diramalkan kemungkinan berlaku pergerakan air dan arus yang kuat.

“Punca utama tsunami disebabkan gempa bumi di dasar lautan, kebanyakannya berlaku di ‘zon benam” di mana plat tektonik bertemu – titik yang terdekat dengan Australia Timur ialah Puysegur Trench, selatan New Zealand,” katanya. – BERNAMA